DAGANG Net Technologies Sdn Bhd (Dagang Net), penyedia perkhidmatan Sistem Maklumat Kastam - Dagang Net (SMK-Dagang*Net), mengumumkan pelantikan Pengarah Eksekutifnya, Amiruddin Abdul Aziz sebagai Pengerusi Perikatan e-Dagang Pan Asia (PAA) untuk tempoh dua tahun bermula 2007 hingga 2008.
Dalam kenyataan di Kuala Lumpur semalam, Dagang Net menyatakan sebelum dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Dagang Net, Amiruddin pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Operasi EPE Power Corporation Bhd.
Amiruddin kemudian ditukarkan ke Renong Bhd sebagai Ketua Pegawai Operasi, iaitu jawatan yang dipegang sebelum dilantik sebagai Pengarah Urusan Time Engineering Bhd pada 1 April 2003.
Ketika itu, beliau adalah ahli Majlis Time dotCom Bhd dan Ahli Jawatankuasa Pencalonan syarikat.
Amiruddin memegang Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Ohio, Ohio, Amerika Syarikat.
Sementara itu, Dagang Net berkata PAA ditubuhkan pada Julai 2000, adalah perikatan perdagangan elektronik (e-dagang) serantau bagi Asia.
Ia ditubuhkan dengan matlamat untuk menyediakan satu prasarana teknologi maklumat (IT) selamat dan boleh dipercayai bagi mempromosikan perdagangan serta logistik global yang cekap.