DAGANG Net Technologies Sdn Bhd (Dagang Net), syarikat tempatan pertama menawarkan perkhidmatan e-dagang dan pertukaran dokumen secara elektronik melaksanakan ‘United Nations Electronic Trade Documents' (UNeDocs), adalah piawaian terbaru dokumen digital perdagangan global diterima serta diguna pakai UN/CEFACT.
Ia dibangunkan berasaskan kepada konsep model data yang dikenali sebagai ‘UNeDocs Master' yang membolehkan dokumen digunakan dalam persekitaran jual beli serta rantaian susulannya dapat diperoleh daripadanya.
Langkah itu bakal merintis usaha mengukuhkan keupayaan pengeksport tempatan membabitkan diri secara berkesan dalam pentas perdagangan global. Penggunaan UNeDocs adalah piawaian antarabangsa bagi merangsang persekitaran perdagangan tanpa kertas dipercepatkan serta diteliti secara mendalam menerusi United Nations/Centre for Trade Facilitation and Electronic Business .
UN/CEFACT bernaung di bawah pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Ia memberikan tumpuan dalam usaha membangunkan piawaian global dokumen perdagangan dan pertukaran maklumat digital.
Ketua Eksekutif Dagang Net Technologies Sdn Bhd, Saifol Bahri Shamlan, berkata tugas menyempurnakan dokumentasi yang diperlukan dalam perdagangan merentasi sempadan adalah agak rumit serta menagih perbelanjaan yang tinggi.
“Bagaimanapun, dengan mengambil pendekatan menggunapakai piawaian antarabangsa, ia membolehkan kita membangunkan piawaian yang seragam merentasi sempadan serantau sekali gus mengurangkan kekangan tradisi terhadap kecekapan serta keberkesanan perdagangan.
“Susulan serta kelangsungan daripada penggunaan piawaian ini, jangkaan kami ialah ia akan menghasilkan peningkatan pertumbuhan perdagangan intra serantau serta hasil perolehan buat komuniti perniagaan tempatan, pengguna serta ekonomi negara," katanya di Kuala lumpur , baru-baru ini.
Beliau berkata, UNeDocs turut memudahkan Perushaan Kecil dan Sederhana (PKS) menjadikan entiti perdagangan antarabangsa.
“Dengan hanya menggunakan kemudahan komputer peribadi yang mempunyai capaian kepada Internet, pengusaha PKS tempatan akan dapat menggendalikan UNeDocs sekali gus mengambil bahagian dalam persekitaran perdagangan tanpa kertas menerusi tetingkap kemasukan tunggal yang bersilang guna.
“Semua ini akan mempertingkatkan keupayaan operasi global dengan kadar yang bukan saja lebih pantas tetapi juga lebih murah dengan persekitaran yang selamat lagi terkawal,” katanya.