Home News > News Archive  
 
Member Services
 
MyPorts
 

Dagang Net sasar RM58J

Published by Harian Metro

DAGANG Net Technologies Sdn Bhd, sebuah anak syarikat Time Engineering Bhd, berharap dapat meraih pendapatan RM58 juta tahun ini berbanding RM50 juta yang dinikmati sebelumnya daripada perniagaan terasnya, Sistem Maklumat Kastam Dagang Net.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Saifol Bahri Shamlan, berkata ramalan pendapatan itu dibuat berdasarkan pelancaran perkhidmatan nilai tambahan barunya seperti aplikasi e-permit, e-manifest dan borang K3.

Beliau berkata, e-permit membolehkan pengimport, pengeksport dan ejen penghantar yang dilantik memohon permit tanpa perlu melalui agensi pengeluar permit dan ia memendekkan tempoh menunggu kelulusan.

Syarikat itu mensasarkan 24 agensi pengeluar permit terdiri daripada agensi-agensi kerajaan, untuk menggunakan perkhidmatannya menjelang suku keempat tahun ini, katanya kepada pemberita selepas bengkel mengenai Dokumen Perdagangan Elektronik Bangsa-Bangsa Bersatu atau `UNeDocs' anjuran Pusat Bagi Pemudahan Perdagangan dan Perniagaan Elektronik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN/CEFACT).

UN/CEFACT adalah sebuah badan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang membangunkan piawaian global dokumen perdagangan digital dan pertukaran data, manakala UNeDocs adalah piawaian antarabangsa bagi mempermudahkan perdagangan tanpa kertas.

Saifol Bahri berkata, dengan pelaksanaan e-permit, pelanggan hanya perlu memohon melalui laman web dan menggunakan maklumat sama untuk memohon satu permit lain daripada agensi kerajaan yang lain.

Pada masa ini, hanya Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Lembaga Kawalan Racun Serangga bagi import menggunakan platform Dagang Net untuk memohon e-permit.

Dagang Net adalah penyedia perkhidmatan e-dagang yang mengendalikan perkhidmatan bagi mempermudahkan perdagangan elektronik, SMK Dagang Net, satu sistem membolehkan industri perdagangan dan logistik mengadakan transaksi tanpa kertas dengan Jabatan Kastam.

Katanya, e-manifest dan borang K3, yang kini dibangunkan di bawah projek perintis, dijangka dilaksanakan tidak lama lagi.

E-manifest, adalah satu senarai dan gambaran lengkap barangan yang telah dimuatkan ke dalam kapal, manakala K3 adalah borang untuk mempermudahkan pergerakan perdagangan antara Semenanjung Malaysia , Sabah dan Sarawak .

Mengenai pelaksanaan UNeDocs, Saifol Bahri berkata ia dijangka dilaksanakan di negara ini menjelang tahun 2007.

“Sekarang ini kami di peringkat awal perbincangan dengan penyedia perkhidmatan di United Kingdom dan Jerman,” katanya.

Pelaksanaan UNeDocs dijangka dapat mengupayakan pengeksport Malaysia untuk mengambil bahagaian secara berkesan dalam perdagangan global, tegasnya. - Bernama



A Subsidiary of
   
©Copyright 2003 Dagang Net Technologies Sdn. Bhd. All Rights Reserved.
UEM Group
Time Engineering Bhd
   
Tel: 603-2723 2723 Fax : 603-2723 2727 Email: info@dagangnet.com