Home News > News Archive  
 
Member Services
 
MyPorts
 

Tahan:Premium Bukan Motor Sumbang 50 Peratus

Published by Utusan Malaysia (Ekonomi)

PETALING JAYA 25 Nov. - Tahan Insurance Malaysia Bhd. (Tahan) berhasrat untuk meningkatkan sumbangan premium daripada perniagaan bukan motor kepada sekurang-kurangnya 50 peratus dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Ketua Pegawai Operasi (Insurans Am) Tahan Insurance, Chong Wai Hong berkata, bagi mencapai sasaran itu, pihaknya sedang giat mewujudkan pendekatan perniagaan baru dengan memberikan tumpuan kepada perniagaan insurans kesihatan, pekerja asing dan kargo marin.

Buat masa sekarang, perniagaan insurans bukan motor hanya menyumbang 35 peratus daripada keseluruhan RM160 juta perolehan premium tahunan Tahan Insurance.

``Meskipun ketiga-tiga perniagaan di atas bukanlah sesuatu yang baru di pasaran, tetapi ia masih berada dalam kategori `bidang baru' sekiranya dinilai daripada keseluruhan portfolio perniagaan Tahan.

``Ketiga-tiga kategori ini menghasilkan satu pelan strategik untuk mengurangkan kebergantungan syarikat terhadap perniagaan insurans motor yang ketika ini menyumbangkan 65 peratus daripada keseluruhan premium,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pra-pelancaran perkhidmatan insurans marin kargo secara dalam talian di Hotel Eastin di sini hari ini.

Perkhidmatan tersebut dijalankan secara bersama dengan Dagang Net Technologies Sdn. Bhd. (Dagang Net).

Mengulas mengenai perkhidmatan terbaru itu, Wai Hong berkata, ia diharap dapat membantu meningkatkan penguasaan pasaran Tahan Insurance dalam perniagaan kargo marin.

Beliau berkata, saiz premium pasaran kargo marin pada ketika ini dianggarkan RM360 juta yang mana Tahan Insurance hanya menguasai sekitar satu peratus sahaja daripadanya.

``Pada tahun lalu, perniagaan kargo marin hanya menyumbang premium berjumlah RM3 juta sahaja dan kami menyasarkan ia mampu digandakan kepada RM6 juta dengan adanya perkhidmatan terbaru ini.

``Pada masa sama, kami turut berharap ia dapat meningkatkan penguasaan pasaran Tahan Insurance bagi perniagaan insurans kargo marin kepada tiga peratus dalam tempoh satu setengah tahun akan datang,'' katanya lagi.

Wai Hong berkata, perkhidmatan itu akan dilaksanakan dalam tiga fasa dengan fasa pertama iaitu pendaftaran pelanggan secara dalam talian akan dimulakan bulan Disember ini diikuti fasa kedua penghujung tahun ini.

Jelasnya, fasa ketiga pula iaitu pembayaran secara dalam talian dijadualkan dapat dilaksanakan pada suku kedua tahun hadapan iaitu sebaik sahaja rundingan dengan semua 10 buah bank utama di negara ini diselesaikan.

``Apabila lengkap ketiga-tiga fasa ini, proses pembelian insurans dapat diselesaikan dalam tempoh kurang sehari berbanding proses konvensional yang mengambil masa sehingga 60 hari ketika ini,'' jelas beliau.

Ditanya mengenai pelaburan untuk membangunkan sistem, beliau berkata, Tahan Insurance melabur kira-kira RM1.5 juta untuk sistem itu manakala Dagang Net pula membuat pelaburan tambahan kira-kira RM500,000 lagi.

``Pelaburan itu bagaimanapun hanya untuk menyediakan sistem. Kos untuk menyediakan infrastruktur pula dianggarkan melebihi RM20 juta,'' tambah beliau.

A Subsidiary of
   
©Copyright 2003 Dagang Net Technologies Sdn. Bhd. All Rights Reserved.
UEM Group
Time Engineering Bhd
   
Tel: 603-2723 2723 Fax : 603-2723 2727 Email: info@dagangnet.com