Home News > News Archive  
 
Member Services
 
MyPorts
 

19 Agensi Kerajaan Bakal Guna e-Permit

Published by Berita Harian (Ekonomi)

DAGANG Net Technologies Sdn Bhd, anak syarikat Time Engineering Bhd, mensasarkan sistem ePermit yang dibangunkannya dapat disambungkan ke 19 agensi kerajaan yang terbabit dalam pengeluaran permit import dan eksport.

Ketua Eksekutif Dagang Net, Saifol Shamlan, berkata penyatuan semua agensi berkenaan dalam rangkaian sistem ePermit dijangka disempurnakan selewat-lewatnya akhir tahun ini.

“Matlamat utama menjadikan ePermit tingkap tunggal menggabungkan 19 agensi kerajaan, Kastam Diraja Malaysia (KDRM), komuniti pengimport/pengeksport dan ejen penghantaran fret dalam pengeluaran permit import dan eksport secara cekap dan berkesan,” katanya selepas majlis pelancaran ePermit di Kuala Lumpur, semalam.

Agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani ialah yang pertama menggunakan sistem ePermit.

Pelancaran ePermit disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Abi Musa Asa'ari Mohamed Nor, bagi pihak menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Saifol berkata, sistem ePermit, aplikasi berasaskan web sepenuhnya, membantu komuniti perniagaan berurusan dengan kerajaan dalam persekitaran elektronik bagi memohon permit import dan eksport.

“Sistem ini akan menjadi pemangkin kepada sektor pertanian dalam usaha melebarkan pasaran mereka ke peringkat global,” katanya.

Setakat ini, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Bahagian Kawalan Racun Perosak sudah menggunakan ePermit sejak Januari lalu. Sistem ePermit merangkaikan Fama terus dengan 150 pengimport manakala 60 pengimport dihubungkan terus dengan Bahagian Kawalan Racun Perosak.

Menerusi ePermit, urusan yang biasanya diselesaikan dalam tiga hari, dapat dibereskan dalam kurang sehari. Pemohon hanya dikenakan bayaran RM10 bagi setiap satu kitaran lengkap urus niaga.

Jabatan Perkhidmatan Haiwan Malaysia, Bahagian Perlindungan Tanaman dan Kuarantin Tumbuhan, Bahagian Industri Padi dan Beras serta Jabatan Perikanan sedang dalam peringkat awal pelaksanaan ePermit.

Sementara itu, antara 13 agensi yang menguji ePermit termasuk Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Kementerian Sumber Asli), Unit Perjudian, Kementerian Kewangan; Lembaga Koko dan Lembaga Industri Pembalakan Malaysia, Kementerian Perusahaan Utama.

Dagang Net yang diasaskan pada 1989, kini mengendalikan pembayaran elektronik cukai KDRM bernilai RM1.8 bilion setahun.

Ia turut mengendalikan urus niaga pertukaran lebih 40 juta dokumen elektronik setahun.

A Subsidiary of
   
©Copyright 2003 Dagang Net Technologies Sdn. Bhd. All Rights Reserved.
UEM Group
Time Engineering Bhd
   
Tel: 603-2723 2723 Fax : 603-2723 2727 Email: info@dagangnet.com