| Kutip Duti RM12 B Setahun
Published by Harian Metro
PERKHIDMATAN pembayaran duti dan cukai kastam melalui internet yang diperkenalkan Bank Bumiputra Commerce (BCB) dan DagangNet Technologies Sdn Bhd (DagangNet) mensasarkan kutipan bayaran berjumlah RM12 bilion setahun.
Pemindahan dana elektronik terbaru dikenali DutyNet itu, memberi kelebihan kepada ejen penghantaran atau mana-mana pihak membuat pembayaran kepada Kastam Diraja Malaysia (KDRM) kerana ia beroperasi 24 jam dengan tujuh hari perkhidmatan di seluruh dunia.
Ketua Pengarah KDRM, Tan Sri Abdul Halil Abdul Mutalib, berkata, pelaksanaan sistem itu antara misi jabatan untuk mengutip duti dan cukai dengan lebih berkesan.
Beliau berkata, sebelum ini, DagangNet memajukan satu sistem pemindahan dana elektronik tetapi urus niaga hanya boleh dilakukan dalam masa bank beroperasi dan hanya sejumlah RM1.8 bilion cukai berjaya dipungut setahun.
DutyNet disambungkan kepada portal e-isytihar Dagang Net, suatu sistem yang disambung kepada pangkalan data kastam dan portal perbankan perniagaan internet Bumiputra-Commerce Bank (BCB), BizChannel.
“Pelanggan boleh mengakses sistem ini hampir dari mana-mana dan pada bila-bila masa saja,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran sistem DutyNet di Putrajaya, semalam.
Abdul Halil berkata, menerusi sistem DutyNet, ejen penghantaran boleh mengemukakan perisytiharan barangan mereka melalui DagangNet dan ini akan dihantar secara elektronik ke sistem talian terus KDRM untuk mendapatkan kelulusan.
Beliau menjelaskan, ejen penghantaran boleh membuat pembayaran melalui DutyNet selepas mereka menerima kelulusan daripada KDRM dengan menggunakan BizChannel BCB dan untuk melanggan, mereka perlu mendaftar dengan sistem e-isytihar DagangNet dan portal Internet
Sementara itu, Abdul Halil berkata, KDRM belum menerima arahan kadar baru duti eksais bagi kenderaan berikutan kajian semula Dasar Automotif Negara (NAP) yang dijangka diumumkan dalam masa terdekat.
“Sehingga kini kami belum menerima sebarang arahan daripada kerajaan (Kementerian Kewangan) mengenai kadar duti eksais,” katanya.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan akan mengadakan kajian semula NAP yang meliputi semua aspek termasuk industri kereta nasional dan permit import (AP) bagi kemasukan kenderaan luar negara.
|