Home News > News Archive  
 
Member Services
 
MyPorts
 

ePermit Dimensi Baru Sektor Pertanian Negara

Published by Berita Harian (Komputer)

PENGGUNAAN teknologi terkini dalam sektor pertanian dan industri asas tani negara secara memanfaatkan internet mampu mengubah sektor berkenaan menjadi lebih moden, dinamik dan berdaya saing.



Berdasarkan kemampuan teknologi yang dilihat mampu mengangkat martabat sektor itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menggariskan hala tuju sektor pertanian dan industri asas tani negara dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) akan beralih kepada penggunaan teknologi tinggi.

Memandangkan sektor pertanian menjadi penyumbang kepada asas pembentukan ekonomi Malaysia dalam era selepas merdeka, kerajaan melalui inisiatif e-Kerajaan melaksanakan sistem aplikasi permit berasaskan web iaitu e-Permit.

e-Permit adalah aplikasi yang dibangunkan oleh Dagang Net Technologies Sdn Bhd khusus untuk membantu komunikasi sektor pertanian berurusan dengan agensi kerajaan dalam persekitaran berelektronik.

Melalui pelaksanaan itu, ia menjadi platform ke arah memperkasakan sektor berkenaan selain berusaha mewujudkan kehadiran sektor pertanian negara ke pentas pasaran global dengan lebih berkesan.

e-Permit adalah sistem aplikasi permit import eksport kastam seumpamanya di negara ini yang dihasilkan bagi memenuhi keperluan komuniti perdagangan, khususnya di sektor pertanian.

Ia memberi kemudahan kepada pengeksport, pengimport dan ejen penghantaran membuat permohonan secara elektronik ke jabatan kerajaan berkenaan bagi mendapat kelulusan menerusi teknologi internet.

Matlamatnya untuk menjadi tetingkap tunggal atau pintu masuk setempat yang menggabungkan 19 agensi kerajaan, Kastam Di Raja Malaysia , komuniti pengimport, pengeksport dan ejen penghantar.

Permit yang diproses melalui elektronik ini juga akan disalurkan kepada rangkaian prasarana kebangsaan SMK-DagangNet bagi melalui proses pengesahan serta kelulusan.

Kepantasan sistem aplikasi berasaskan web membolehkan permit import, eksport dan pengeluaran permit dilakukan dalam masa singkat berbanding sistem manual yang terpaksa membabitkan banyak pihak, sekali gus memakan masa dan kos tinggi.

Pelaksanaan sistem ini mengatasi masa permohonan yang selama ini membabitkan tiga hari dapat dikurangkan kepada sehari memandangkan keseluruhan proses dilakukan secara elektronik.

Aplikasi ini membolehkan sektor pertanian negara menembusi pasaran eksport global yang mana kehadiran ke peringkat pasaran global ini dapat dilakukan dalam masa pantas berbanding proses berasaskan kertas. Ini membuka dimensi baru dalam pasaran produk pertanian negara ke peringkat global.

Peralihan pemprosesan permit daripada manual kepada elektronik sepenuhnya memerlukan sistem rumusan lasak kerana ia akan membabitkan isu, antaranya kemasukan data, perkhidmatan pembayaran, keselamatan serta ciri pengesahan ketulenan pengendali transaksi elektronik.

Selain itu ia juga membabitkan aspek interaksi pangkalan data, aliran kerja dalaman termasuk semakan, kelulusan permit secara elektronik dan kemudahan pelanggan memperoleh maklumat dengan mudah melalui format elektronik.

Bagi memangkinkan kelasakan sistem ini, tulang belakang e-Permit memanfaatkan sepenuhnya teknologi Java, satu platform paling berkuasa untuk pembangunan web di peringkat sistem pelayan bagi membolehkan aplikasi itu tersedia dengan kehebatan dan berskala.

Ini akan membolehkan e-Permit menyalurkan maklumat secara telus merentasi sistem rangkaian dan sistem pelayan hanya menggunakan satu tetingkap elektronik untuk sampai ke pengguna akhir.

Kini e-Permit dilaksanakan secara usaha sama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan diguna pakai serta dimanfaatkan oleh Fama sejak Januari tahun lepas.

Selain itu bahagian Kawalan Racun Perosak di Jabatan Pertanian menggunakan sistem itu ke arah pelaksanaan pengeluaran permit dalam persekitaran tanpa kertas.

Sistem itu merangkaikan Fama secara terus kepada 150 pengimport manakala 60 lagi pengimport dihubungkan secara terus ke Bahagian Kawalan Racun Perosak di Jabatan Pertanian dengan membabitkan 550 transaksi permit setiap bulan.

Menjelang akhir tahun ini, e-Permit dijangka akan dilaksanakan di Jabatan Perkhidmatan Haiwan Malaysia , Jabatan Pertanian Bahagian Perlindungan Tanaman dan Kuarantin Tumbuhan serta Jabatan Perikanan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, berkata negara memerlukan satu sistem berpusat yang mampu menyepadukan semua operasi permit di kementeriannya bagi mewujudkan aksesibiliti bagi sektor awam dan swasta.

"Kami ingin membantu sektor pertanian dan kementerian sudah menerajui serta mengadaptasikan penggunaan teknologi terkini ini bagi mempercepatkan proses permit import eksport.

“Ini membolehkan sektor pertanian lebih menjurus pada perniagaan global bagi melaksanakan eksport dengan cepatdan menjimatkan masa ketika proses dokumentasi,” katanya.

Melalui e-Permit, ia akan menjadi medan ujian bagaimana sektor swasta dan kerajaan dapat bekerjasama dalam memacu kecemerlangan jangka panjang negara, khususnya membangunkan sektor pertanian.

Projek e-Permit ini akan bertindak sebagai model negara memandangkan ia memenuhi matlamat Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk menjadi agensi pengeluar permit paling unggul serta berkesan di negara ini.

A Subsidiary of
   
©Copyright 2003 Dagang Net Technologies Sdn. Bhd. All Rights Reserved.
UEM Group
Time Engineering Bhd
   
Tel: 603-2723 2723 Fax : 603-2723 2727 Email: info@dagangnet.com