Home News > News Archive  
 
Member Services
 
MyPorts
 

Dagang Net Perkenal CBeX Terokai Global

Published by Berita Harian (Ekonomi)

DAGANG Net Technologies Sdn Bhd (Dagang Net), penyedia perkhidmatan perdagangan menerusi elektronik (e-dagang) memperkenalkan perkhidmatan terbarunya, CBex sejajar usahanya mengembangkan operasi ke peringkat global.

CBex adalah produk aplikasi perkhidmatan berasaskan web tempatan yang dibangunkan sepenuhnya oleh syarikat itu untuk membolehkan kemudahan pertukaran maklumat merentas sempadan secara pantas dan selamat.

Ketua Eksekutif Dagang Net, Saifol Bahri Shamlan, berkata CBex adalah produk yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Katanya, produk itu adalah lanjutan sistem elektronik pengurus seliaan prosedur kastam serta pertukaran dokumen perniagaan antara pengeksport dan pengimport secara terkawal dan selamat.

“CBex membuka ruang dan peluang untuk meningkatkan tahap dagangan global jutaan syarikat yang sehingga kini kerap mengambil sikap tidak menghiraukan pertanyaan perniagaan dari luar,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata, CBex membolehkan penyediaan operasi dilakukan dengan lebih cekap serta bertaraf global.

Katanya, dengan mempunyai ciri prosedur kastam yang lebih baik, CBex mampu meningkatkan keupayaan pengendalian kegiatan import dan eksport.

“Ini akan menghasilkan tahap penepatan prosedur yang lebih tinggi serta pusingan waktu lebih singkat dalam menyempurnakan tugasan bagi pihak kerajaan mahupun peniaga,” katanya.

Saifol Bahri berkata, dengan mengambil kira keperluan semua perniagaan, CBex akan diperluaskan untuk mengatasi masalah yang sering dikaitkan dengan dagangan merentas sempadan.

Beliau berkata, antaranya ia membabitkan pesanan penghantaran, invois komersial, senarai bungkusan, bil laluan penerbangan, deklarasi import-eksport dan sebut harga.

Menerusi CBex, Dagang Net kini mempunyai platform untuk melaksanakan lebih banyak pertukaran dokumen perniagaan pada masa akan datang.

“Kami menyedari ada banyak organisasi yang tidak mempunyai sumber dan kepakaran mencukupi untuk mengembang serta melaksanakan perniagaan antarabangsa.

“CBex akan membantu pelanggan sepanjang urus niaga dan menyediakan panduan serta sumber bagi meningkatkan tahap keyakinan mereka apabila mengendalikan perniagaan merentas sempadan,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif merentas sempadan adalah langkah bijak kepada semua penyedia perkhidmatan e-dagang dan rakan niaga di negara lain untuk berganding secara bersama dalam mempromosikan pertumbuhan perniagaan secara kolektif.

Katanya, syarikat itu yakin CBex dapat memainkan peranan penting bagi menyediakan hubungan dagangan yang diperlukan dengan membantu mengintegrasikan kawasan serantau kepada rejim dagangan global yang lebih kukuh.

A Subsidiary of
   
©Copyright 2003 Dagang Net Technologies Sdn. Bhd. All Rights Reserved.
UEM Group
Time Engineering Bhd
   
Tel: 603-2723 2723 Fax : 603-2723 2727 Email: info@dagangnet.com