| Dagang Net Perluas Skop e-Kastam
Published by Harian Metro
DAGANG Net Technologies Sdn Bhd memperluaskan skop e-kastam menerusi produk terbarunya, CBex, yang akan membantu syarikat tempatan menjalankan urus niaga merentasi sempadan tanpa risiko.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Saifol Bahri Shamlan berkata, CBex akan membuka ruang mempertingkatkan tahap dagangan syarikat tempatan dan luar negara.
Beliau berkata, menerusi CBex, pihaknya membantu syarikat sepanjang urus niaga dan menyediakan panduan serta sumber bagi membina keyakinan mengendalikan perniagaan merentasi sempadan.
“CBex adalah urus niaga tanpa kertas membabitkan penghantaran, inbois komersil, senarai bungkusan, laluan penerbangan, pendeklarasi import-export dan sebut harga,” katanya.
Beliau berkata, CBex kini dalam proses pelaksanaan tahap awal membabitkan beberapa organisasi korporat Malaysia serta Singapura.
Katanya, CBex akan diperkenalkan kepada Korea Selatan, Taiwan, Filipina dan Indonesia dan dijangka untuk beroperasi sepenuhnya pada Mac 2005.
Saifol berkata, CBex akan membantu menyempurnakan wawasan Dagang Net dalam mewujudkan pentadbiran e-kastam sejagat dalam persekitaran tanpa kertas.
Selain itu, katanya, Dagang Net memeterai pakatan serantau dengan PT EDI Indonesia bagi menjalinkan kerjasama pintas membangunkan rangkaian bersepadu dengan nilai tambahan.
|