| PAA disaran Perluas Rangkaian e-Dagang
Published by Berita Harian
GABUNGAN e-Dagang Pan Asia (PAA) disaran memperluaskan rangkaian urus niaga dagangan elektronik bagi membolehkan lebih banyak negara anggota Asean dan Asia meningkatkan prasarana itu.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz, berkata rantau ini amat berpotensi dalam bidang itu dan ia mungkin ketinggalan jika e-dagang gagal diaplikasikan.
“Pada masa lalu, ketika urus niaga perdagangan tidak dilakukan secara elektronik, promosi dagang cuma berbentuk misi dagangan, sedangkan urus niaganya sudah dikendalikan secara elektronik.
“Orang luar mengharapkan urus niaga dagang dapat dilakukan dengan cepat. Bagi pelepasan kastam misalnya, mereka mahu ia selesai dalam dua jam, bukannya hingga tiga atau empat hari.
“Jadi, jika kita tidak menggunakan kaedah elektronik, kita akan masih dibebankan oleh dokumen 17 salinan, dengan setiap satu perlu ditandatangani seorang pegawai,” di Langkawi, kelmarin.
“Oleh itu, kita perlu ada dokumentasi elektronik kerana jika tidak, rantau ini tidak akan dapat memanfaatkan sepenuhnya potensi yang ada,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu PAA ke-15 di Berjaya Beach & Spa Resort, di Langkawi, petang kelmarin.
Hadir sama, Pengerusi Dagang Net Technologies Sdn Bhd (Dagang Net Technologies), Datuk Dr Syed Muhamad Syed Abdul Kadir dan Pengerusi PAA, Dr Chen Jenn Nan.
Mesyuarat dua hari anjuran oleh Dagang Net Technologies itu antara lain membincangkan laporan perkhidmatan urus niaga rentas sempadan, pengiktirafan prasarana dan khidmat pengesanan kargo.
PAA yang menghimpunkan lapan penyedia perkhidmatan e-niaga utama di rantau ini, diwujudkan pada Julai 2000 sebagai gabungan e-dagang serantau pertama menyediakan infrastruktur terjamin.
Ia dianggotai Crimsonlogic dari Singapura, Trade-Van (Taiwan), Tradelink (Hong Kong), International Electronic Commerce Centre (China), Korea Trade Network (Korea), Trade Electronic Data Interchange (Jepun), TEDMEV (Macau) dan Dagang Net Technologies (Malaysia).
|