Home News > News Archive  
 
Member Services
 
MyPorts
 

Dagang Net adakan Kerjasama di Indonesia

Published by Utusan Malaysia (Ekonomi)

KUALA LUMPUR 3 Mei - Dagang Net Technologies Sdn. Bhd. (Dagang Net), pelopor industri e-dagang di Malaysia, telah mengadakan kerjasama dengan PT EDI Indonesia (PTI EDI) di Indonesia untuk memudah cara kegiatan perdagangan kedua-dua negara.

Kerjasama itu bertujuan mewujudkan perhubungan komunikasi tambahan dan memudahkan pertukaran dokumen import dan eksport antara kedua-dua negara, kata Ketua Pegawai Eksekutif Dagang Net, Saifol Bahri Shamlan.

Beliau berkata, langkah serta jalinan kerjasama ini dijangka akan dapat memperbaiki tempoh penantian penghantaran kargo antara kedua-dua buah negara.

Katanya, perjanjian itu juga akan merintis usaha kerjasama antara kedua-dua syarikat tersebut selain mengembangkan rangkaian perhubungan dan memendekkan lagi maklumat deklarasi kastam.

``Insentif kerjasama ini merupakan sebahagian daripada usaha menyeluruh kami mewujudkan persekitaran pentadbiran e-kastam tanpa kertas.

``Matlamat akhir kami ialah untuk memudahkan prosedur import dan eksport global menerusi sistem pasaran elektronik di antara pihak berkuasa kastam,'' kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Perjanjian persefahaman antara kedua-dua negara dimeterai baru-baru ini dengan Dagang Net diwakili oleh Saifol Bahri manakala PTI EDI diwakili oleh Pengarah Presidennya, Ibnu Pratomo.

Perjanjian itu merupakan yang kedua bagi Dagang Net yang mana sebelum ini telah menjalinkan kerjasama serupa dengan syarikat KTNET dari Korea.

Saifol Bahri berkata, gandingan kerjasama itu akan membolehkan komuniti perkapalan global, penyedia perkhidmatan logistik serta rakan niaga antarabangsa antara kedua-dua negara turut bekerjasama sekali gus mengoptimumkan pelaksanaan pengedaran dalam konteks antarabangsa.

Beliau berkata, pihak yang terlibat juga akan memperoleh manfaat hasil perkongsian pelantar serta teknologi dukungan selain kemudahan latihan, prasarana serta kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan.

``Ia juga dijangka dapat membantu meningkatkan lagi jumlah dagangan antara kedua-dua negara yang telah mencecah ke tahap pencapaian yang amat memberangsangkan iaitu RM19.28 bilion.

``Daripada jumlah itu, RM11.19 bilion merupakan dagangan eksport manakala RM8.09 pula merupakan nilai catatan import,'' katanya.

A Subsidiary of
   
©Copyright 2003 Dagang Net Technologies Sdn. Bhd. All Rights Reserved.
UEM Group
Time Engineering Bhd
   
Tel: 603-2723 2723 Fax : 603-2723 2727 Email: info@dagangnet.com