Home News > News Archive  
 
Member Services
 
MyPorts
 

Dagang Net Hampiri Matlamat

Published by Berita Harian

DAGANG Net Technologies Sdn Bhd (Dagang Net), anak syarikat Time Engineering Bhd (Time Engineering), sudah hampir mencapai matlamatnya untuk menerokai pasaran Eropah.

Pengurus Besar Kanan Dagang Net, Zaharin Ali, berkata ia berikutan maklum balas positif yang ditunjukkan pihak berkuasa Perancis dalam menjalinkan usaha sama dengan Dagang Net untuk memajukan sistem pengurusan dokumentasi perdagangan antarabangsa secara elektronik di negara itu.

“Ketika rangka lawatan kerja kami ke Perancis bulan lalu, Jabatan Kastam negara itu menunjukkan minat mendalam untuk mengadakan satu sistem cekap bagi urusan import eksport secara elektronik di setiap pejabat kastam di sana.

“Ia termasuk penyediaan sistem bagi proses dokumentasi pengesahan kastam secara elektronik.

“Kami melihat perkembangan itu sebagai titik permulaan bagi Dagang Net untuk memperkenalkan lebih banyak perkhidmatan perdagangan elektronik berteknologi terkini ke Eropah, dan Perancis bertindak sebagai pemangkin ke arah itu,” katanya dalam satu temu bual dengan Berita Harian di Kuala Lumpur, semalam

Zaharin berkata, susulan daripada pertemuan itu, wakil Jabatan Kastam Perancis sudah bersetuju untuk datang ke Malaysia bagi mengadakan perbincangan lanjut dan melihat sendiri kejayaan pelaksanaan sistem elektronik di negara ini.

“Kami yakin usaha sama dengan Jabatan Kastam Perancis akan berhasil.
“Tambahan lagi kami mendapat sokongan padu kerajaan.
“Kami difahamkan pertemuan antara kerajaan akan diadakan tidak lama lagi,” katanya.

Dagang Net sudah diberikan konsesi selama 15 tahun oleh kerajaan bagi melaksanakan rangkaian perkhidmatan dagangan dan logistik bersepadu secara tanpa kertas ke seluruh negara menerusi kemudahan prasarana Sistem Maklumat Kastam-DagangNet (SMK-DagangNet) berteknologi canggih.

Beliau berkata, fasa pertama yang membabitkan sistem pengesahan kastam secara elektronik dan rangkaian perhubungan di setiap pelabuhan dan lapangan terbang tempatan dijangka siap sepenuhnya penghujung bulan depan.

Dagang Net mensasar menjelang 2008 Malaysia akan memiliki satu sistem bersepadu yang cekap.
Selain segala urusan dokumentasi dilaksana secara elektronik, sistem itu memiliki enjin pencari yang menghubungkan antaranya bank, operator pelabuhan dan lapangan terbang, syarikat insurans, ejen perkapalan, pengeksport dan pengimport dalam satu rangkaian.

Bulan lalu Dagang Net memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan KTNET dari Korea Selatan untuk menawarkan rumusan perdagangan global secara elektronik antara kedua-dua negara.
Zaharin berkata, kerjasama antara Dagang Net dan KTNET akan membolehkan ejen perkapalan menggunakan data asal dari negara sumber dan memastikan maklumat yang diperoleh adalah tepat.
Ia juga membolehkan pihak terbabit menjejak pergerakan barang yang dihantar, katanya.

Katanya, selain itu, sistem nombor rujukan yang seragam juga membantu meningkatkan tahap keupayaan menjejak barang oleh pihak kastam di kedua-dua negara.

A Subsidiary of
   
©Copyright 2003 Dagang Net Technologies Sdn. Bhd. All Rights Reserved.
UEM Group
Time Engineering Bhd
   
Tel: 603-2723 2723 Fax : 603-2723 2727 Email: info@dagangnet.com