Home News > News Archive  
 
Member Services
 
MyPorts
 

Time Quantum dilantik Naik Taraf Rangkaian SMK-Dagang Net

Published by Berita Harian (Komputer)

Dagang Net Technologies Sdn Bhd (Dagang Net) melantik TIME Quantum Technology Sdn Bhd sebagai usaha menyediakan pelanggannya dengan rangkaian nasional berdedikasi yang menyeluruh serta teruji tahap prestasinya.

Ini akan dilaksanakan menerusi kemudahan pusat data yang memanfaatkan teknologi mutakhir lagi canggih untuk mempertingkatkan tahap pengendalian urus niaga di semua lapangan terbang dan pelabuhan utama di dalam negara.

Dagang Net dalam kenyataannya kepada akhbar yang dikeluarkan di Kuala Lumpur, minggu lalu berkata, sistem kelulusan kargo elektronik serta sistem pembayaran cukai yang dihubungkan kepada SMK Kastam Diraja Malaysia akan dibangunkan semula dalam tempoh tiga tahun dengan usaha menaik taraf ini menelan kos RM20 juta.

Bagaimanapun, peringkat pertama pembangunan semula naik taraf yang membabitkan lebih RM11 juta akan memberi tumpuan terutamanya kepada aspek penyediaan perkakasan baru serta prasarana rangkaian.

Dagang Net, anak syarikat TIME Engineering Bhd, menaik taraf sistem teras kelulusan cukai Kastam ke dalam bentuk penawaran borang secara elektronik, yang berfungsi pada prasarana teknologi internet berasaskan web.

Pelaburan para peringkat ini serta peralihan kepada penggunaan kemudahan TIME Quantum Technology adalah untuk mempertingkatkan tahap kemantapan penawaran perkhidmatan dan menyediakan tahap perkhidmatan yang melangkaui harapan serta kehendak pelanggan.

Pada peringkat rancangan naik taraf yang berikutnya, syarikat akan melaksanakan usaha mempertingkatkan proses automasi prosedur dokumentasi import-eksport Kastam serta meneruskan kumpulan perkhidmatan yang lebih tambah nilainya, yang bermula pada lewat tahun 2003.

Kedua-dua syarikat memeterai perjanjian yang menyaksikan mereka bekerjasama untuk mengukuhkan Dagang-Net pada persekitaran rangkaian nasional Sistem Maklumat Kastam (SMK)-Net yang menyediakan perkakasan, perisian dan penggunaan peralatan rangkaian baru.

Pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif Dagang Net Technologies, Saifol Bahri Shamlan menandatangani bagi pihak syarikatnya sementara Ketua TIME Quantum Technology, Azlan Tahir untuk TIME Quantum.

Saifol berkata, peningkatan luar biasa perniagaan antarabangsa memaksa syarikat menaik taraf serta memperlengkapkan teknologinya setiap tiga tahun untuk membolehkan mereka menggunakan teknologi canggih terbaru bagi keseluruhan operasi.

“Susulan daripada penyelidikan selama 18 bulan, kami merangka perancangan untuk tempoh empat tahun akan datang dengan memilih pusat data terbaru TIME Quantum Technology yang diperakui sebagai prasarana sistem e-dagang terbaik untuk menyokong operasi SMK-Dagang-Net seluruh negara,” katanya.

Syarikat menjalinkan kerjasama dengan pihak Kastam Diraja Malaysia dalam peringkat terakhir menyempurnakan penawaran perkhidmatan SMK-Dagang Net ke semua pelabuhan, lapangan terbang, pintu masuk sempadan termasuklah Sabah dan Sarawak bagi membantu mencapai wawasannya sebagai syarikat gergasi e-dagang Malaysia.

A Subsidiary of
   
©Copyright 2003 Dagang Net Technologies Sdn. Bhd. All Rights Reserved.
UEM Group
Time Engineering Bhd
   
Tel: 603-2723 2723 Fax : 603-2723 2727 Email: info@dagangnet.com