| Dagang Net, KTNET Permudah Dagangan Malaysia, Korea
Published by Berita Harian (Ekonomi)
DAGANG Net Technologies Sdn Bhd (Dagang Net) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan KTNET dari Korea Selatan untuk menawarkan rumusan perdagangan global antara kedua negara.
Ketua Eksekutif Dagang Net, Saifol Bahri Shamlan, berkata rumusan Jalinan Rangkaian Nilai Ditambah itu akan menghubungkan pentadbiran kastam antara Malaysia dan Korea Selatan.
"Ia sekali gus meningkatkan keupayaan dua pihak itu untuk bertukar maklumat dan memanfaatkannya bagi mewujudkan pentadbiran cekap," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur.
Selain rumusan perdagangan global itu, MoU itu juga merintis jalan membolehkan syarikat berkenaan bekerjasama menghasilkan rumusan tunggal untuk komuniti perniagaan.
Saifol Bahri berkata, kerjasama itu dapat meningkatkan hubungan dan kegiatan perniagaan antara Malaysia dan Korea menerusi penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi.
"Ia juga adalah titik permulaan kepada usaha sama antara kami dan KTNET untuk menghasilkan lebih banyak perkhidmatan perdagangan elektronik menggunakan teknologi terkini," katanya.
Kerjasama antara Dagang Net dan KTNET akan membolehkan ejen perkapalan menggunakan data asal dari negara sumber, memastikan maklumat yang diperoleh adalah tepat dan menjejak pergerakan barang yang dihantar.
Selain itu, sistem nombor rujukan yang seragam juga membantu meningkatkan tahap keupayaan menjejak barang oleh pihak kastam di kedua-dua negara.
Saifol berkata, Dagang Net berhasrat mengembangkan lagi operasinya dengan menjalin usaha sama dengan rakan niaga dari Pakistan, Nigeria, Kemboja, Myanmar, Vietnam dan Laos.
Syarikat itu sedang melaksanakan rangkaian SMK-DagangNet ke seluruh negara dengan kerjasama Kastam Diraja Malaysia untuk menghubungkan semua pelabuhan dan lapangan terbang tempatan. |