Home News > News Archive  
 
Member Services
 
MyPorts
 

Dagang Net Mahu Eksport Kepakaran Malaysia

KUALA LUMPUR 2 Nov, 2003 - Dagang Net Technologies Sdn. Bhd., penyedia sistem perisytiharan Kastam berelektronik iaitu Sistem Maklumat Kastam SMK-DagangNet (SMK-DagangNet) kini bersedia mengeksport kepakaran Malaysia melalui kerjasama rakan kongsi asing.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Saifol Bahri Mohd. Shamlan berkata: ``Kami telah menerima permintaan dan pertanyaan daripada Pakistan, Nigeria, Kemboja, Myanmar, Vietnam dan Laos.

``Langkah ini akan menjadi cabaran baru kepada kami kerana sejak dulu lagi, kami sememangnya mahu menggembangkannya ke luar negara dan kini, masanya telah tiba,'' kata beliau sambil menambah pengeksportan itu juga melibatkan perdagangan secara elektronik atau e-perdagangan.

Saifol Bahri memberitahu Utusan Malaysia ketika ditemui di sini, pihaknya juga akan meluaskan pelaksanaan SMK-DagangNet ke seluruh negara, pada akhir tahun ini.

Katanya, peluasan itu selaras dengan rancangan bersama Jabatan Kastam dan Eksais Diraja sejak usaha sama memajukan SMK-DagangNet dimulakan pada bulan Ogos 1995.

Katanya, Dagang Net kini berada pada kedudukan yang baik untuk melakukan perluasan operasi ke seluruh negara dengan wujudnya kemampuan teknologi dan infrastruktur.

``Kami bekerjasama dengan pihak Kastam dan industri perdagangan Malaysia untuk memudahkan mengautomasikan prosedur Kastam yang menawarkan kelebihan daya saing kepada pengimport dan pengeksport tempatan di dalam perdagangan antarabangsa.

``Ini kerana urusan perisytiharan secara elektronik mampu menjana lebih banyak bilangan perdagangan pada kadar tempoh lebih pantas berbanding secara kertas,'' katanya.

SMK-DagangNet ketika ini mengendalikan kira-kira 150,000 pesanan elektronik sehari di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Pelabuhan Tanjung Pelepas, Lapangan Terbang Senai, Pelabuhan Klang, Pasir Gudang dan Tanjung Kupang (Linkedua).

Jumlah itu dijangka meningkat kepada 500,000 apabila sistem tersebut dilaksanakan di Tambak Johor di Tanjung Puteri, tidak lama lagi.

Selain perisytiharan kastam secara elektronik, Dagang Net juga melaksanakan sistem pemindahan wang elektronik (EFT) bagi pembayaran cukai kastam dan beberapa sistem e-kerajaan lain.

Saifol berkata, Dagang Net telah melabur sebanyak RM86 juta untuk membangunkan infrastruktur pertukaran elektronik negara ini.

``Kami menjangka peningkatan perolehan sebanyak 40 peratus tahun ini setelah mencatat perolehan sebanyak RM15.8 juta hanya dalam masa enam bulan pertama 2003.''

Dagang Net mencatat perolehan sebanyak RM38 juta pada tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2002, kata beliau.

Kejayaan pengeksportan SMK-DagangNet itu, tambah beliau, akan membolehkan negara ini mendapat manfaat daripada perdagangan luar yang semakin meningkat.

``Pematuhan Malaysia kepada pelbagai sistem canggih yang diiktiraf antarabangsa dan piawaian UNEDIFACT yang diluluskan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi pesanan elektronik akan memberi daya saing tinggi untuk Malaysia menjadi negara perdagangan sepenuhnya,'' kata Saifol lagi.

A Subsidiary of
   
©Copyright 2003 Dagang Net Technologies Sdn. Bhd. All Rights Reserved.
UEM Group
Time Engineering Bhd
   
Tel: 603-2723 2723 Fax : 603-2723 2727 Email: info@dagangnet.com